Cari Blog Ini

Kamis, 09 Desember 2010

Cinta Hakiki kepada-NYA

Dengan membaca al-Quran serta merenung dan memahaminya. Berinteraksi dengan al-Quran sama seperti berinteraksi dengan Allah. Seba-b kitab ini adalah penghubung di antara makhluk dengan Khaliknya. Dalam hadis Rasulullah (saw) bersabda yang maksudnya: “Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah yang mempelajari al-Quran dan yang mengajarnya.” Kemudian dalam keterangan lain al-Rasul menjelaskan: “Bacalah al-Quran kerana ia akan memberi syafaat (pertolongan) kepada siapa sahaja yang membacanya pada hari akhirat kelak.” Di rumah sahabat dulu, biasanya tergantung al-Quran dan pedang. Kenapa dua-dua ini digantung? Sebabnya pedang digunakan untuk pertahanan dan membuka negeri manakala al-Quran untuk membuka hati. Sekiranya kita boleh baca akhbar dan majalah, malah menghabiskan duit untuk mengumpul gambar penyanyi takkanlah tidak ada masa sebentar untuk baca al-Quran. Hafal lagu Hindustan lancar dan ‘cair’ takkanlah al-Fatihah ‘berkeretot’ bunyinya. Sebenarnya hati yang tidak dihuni dengan al-Quran akan dipenuhi kemunafikan, khayalan gangguan dan kemurungan. Maka isilah hati kita dengan membaca al-Quran.

Cuba lihat seorang sahabat bernama Ubay pernah namanya disebut Allah kerana suka membaca al-Quran. Apabila Nabi beritahunya, Ubay terus menangis. Nabi uji Ubay dengan soalan, apakah ayat al-Quran yang paling agung. Beliau menjawab; “ayat kursi”. Banyakkanlah membaca ayat ini.
Hendak dapat cinta Allah ialah dengan solat malam (qiyamullail). Kita memang biasa bangun malam atau berjaga malam. Tapi bukan untuk solat, hanya untuk yang lain, tengok bola, tonton filem, berborak, lepak-lepak dan sebagainya. Sebenarnya untuk qiyamullail tidak semestinya bangun jam tiga atau empat pagi. Sekadar dua rakaat sebelum masuk waktu Subuh sudah memadai atau ketika tonton bola, berhenti sekejap ketika rehat perlawanan lalu berwuduk dan solatlah dua rakaat - termasuk qiyamullail. Jika hendak lakukan qiyamullail antara caranya ialah: a. Berniat untuk bangun solat malam dan berdoa. b. Jangan melakukan dosa pada siang hari sebab dosa pada waktu siang hari akan ikat rohani kita daripada bangun malam. c. Tidurlah awal sedikit. Jika tidur jam satu atau dua pagi kemudian hendak bangun qiyamullail memang tidak jadi. d. Tidur sekejap waktu tengah hari.